Berbatov mula hitung detik ke Old Trafford

TEKA-TEKI mengenai masa depan Berbatov bakal diketahui minggu ini.
Penyerang Bulgaria, Dimitar Berbatov bakal menjadi pemain Manchester United dalam tempoh 48 jam.Situasi itu hadir selepas Berbatov memberitahu rakan sepasukannya di Tottenham bahawa dia kini semakin hampir untuk ke Old Trafford.
Perpindahannya yang dilaporkan bernilai 25 juta pound (RM157.7 juta) itu juga bakal menamatkan buruan pengurus Red Devils, Alex Ferguson ke atas pemain itu selama setahun.
Kini United yang juga juara Liga Perdana England berharap dapat mengumumkan penyerang itu sebelum sepak mula menentang Newcastle Ahad depan.
Begitupun, Berbatov, 27, telah melahirkan kebimbangannya perjanjian itu akan terbatal selepas terdapat laporan yang mengaitkan United mahu mendapatkan Thierry Henry dari Barcelona dan juga penyerang Valencia, David Villa.
“Kami sedang melihat kepada tiga atau empat pilihan berbeza di jentera serangan yang mana kami harap dapat menyelesaikannya dengan baik,” jelas Ferguson minggu lalu.
“Harap-harap, kami dapat membawa pemain baru sebelum bermulanya musim baru ini.”
Sementara itu, pemain sayap United, Ryan Giggs mengakui bahawa musim ini mungkin menjadi musim terakhirnya di Old Trafford.
Pemain Wales berusia 34 tahun itu berkata: “Dalam beberapa musim lepas, saya mengharungi kempen tersebut dengan harapan ia adalah musim terakhir saya.
“Saya tidak akan muda lagi, jadi ini mungkin musim terakhir saya.” - Agensi

