borak final

MU sudah menang

MANCHESTER – “Kami sebenarnya sudah menewaskan Chelsea.”
Demikian pengakuan penyerang Manchester United, Carlos Tevez menjelang perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Luzhniki, Moscow awal pagi esok.

Bintang antarabangsa Argentina itu percaya kejayaan mereka menjulang trofi Liga Perdana England adalah petanda awal kepada kejayaan yang bakal mereka raih di Moscow esok.

“Kami adalah pasukan yang hebat berbanding Chelsea dan saya yakin mereka sebenarnya berdepan masalah psikologi untuk menewaskan kami,” jelas Tevez.

“Mereka juga mungkin anggap saingan Liga Perdana adalah cerita lain, tetapi bagi kami, kejayaan pada kempen domestik itu akan memberi kesan besar pada aksi akhir Liga Juara-Juara.

“Kami adalah pasukan pilihan dan semua orang tahu tentang itu. Kami tidak bimbang dengan ancaman Chelsea.

“Sementara Chelsea pula terdesak untuk memenangi trofi dan ini sudah pasti memberi tekanan baru kepada mereka.”

Tevez juga mengakui kejayaan menjulang trofi Eropah musim ini bakal menjadi sesuatu yang istimewa ketika kelab itu menyambut ulang tahun ke-50 tragedi kapal terbang terhempas di Munich.

“Sir Bobby Charlton ada memberitahu kepada saya bagaimana istimewanya kejayaan ini kepada semua peminat United. Jadi, kami harap dapat merealisasikan impian ini,” jelas Tevez. – Agensi

Kapten Chelsea mahu selesaikan misi peribadi

MOSCOW - John Terry berazam untuk merampas kembali gelaran kapten England dengan membantu Chelsea menewaskan Manchester United pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Kapten The Blues itu hilang peranan dalam skuad kebangsaan England sejak Fabio Capello menjadi jurulatih dan kini dia perlu bersaing dengan kapten United, Rio Ferdinand.

Kedua-dua pemain itu berkawan baik tetapi Terry berkata: “Saya kecewa dengan apa yang berlaku. Saya mahukan dapatkan kembali gelaran kapten dan tempat saya dalam pasukan England. Mungkin persembahan pada aksi akhir menjadi jalan terbaik untuk mendapatkannya kembali.

“Tetapi Rio mempamerkan aksi yang berlainan tahun ini terutamanya sejak dilantik menjadi kapten pada aksi persahabatan menentang Perancis.

“Kami dapat menyaksikan seorang pemain berkelas dunia berada di tahap terbaik dan sebagai seorang pemain pertahanan tengah, saya mengakui dia menjadi pencabar utama.

“Tetapi saya mahu mendapatkannya semula dan membuktikan bahawa saya adalah pemain yang lebih layak untuk menjadi kapten England.”

Terry juga berazam untuk memenangi trofi itu di Moscow untuk membuktikan Chelsea adalah sebuah kelab yang hebat.

“Ia sangat penting bagi saya untuk bermain dalam perlawanan akhir kerana ia adalah satu pencapaian terbaik bagi diri saya. Tetapi apa yang lebih penting, saya mahu memenangi trofi dan saya teruja untuk melakukannya,” jelasnya. - Agensi

Detik istimewa buat Hargreaves

MANCHESTER - Owen Hargreaves yakin perpindahannya ke England menjadi penyumbang utama kepada kejayaan Manchester United melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Pemain tengah United itu berazam untuk memenangi gelaran kedua dalam pertandingan itu selepas berjaya melakukannya bersama Bayern Munich pada tahun 2001.

Tahun lalu, Hargreaves menamatkan kontraknya bersama kelab Jerman itu untuk menyertai United dalam satu perpindahan yang dilaporkan berjumlah 17 juta pound (RM108 juta).

“Pada usia 26 tahun, Saya fikir bahawa saya perlukan cabaran baru. Saya berasa sangat selesa di Munich, hampir terlalu selesa,” kata pemain antarabangsa England itu kepada pemberita menjelang aksi akhir menentang Chelsea di Moscow awal pagi esok.

“Saya perlu mengambil langkah seterusnya, jurulatih baru, rakan sepasukan baru dan satu cabaran baru. Satu-satunya adalah saya meninggalkan Bayern adalah mahu menyertai sebuah kelab terbaik dan United adalah pilihan saya.

“Saya rasa sangat gembira dengan langkah yang saya ambil kerana saya fikir kami mempunyai pemain dan potensi untuk meraih sesuatu yang istimewa.”

Impian Hargreaves mungkin menjadi kenyataan awal pagi esok apabila United yang baru sahaja berjaya mempertahankan gelaran juara Liga Perdana England beraksi pada babak akhir.

United berhasrat untuk mengulangi pencapaian tahun 1999 apabila menewaskan Bayern pada babak akhir Liga Juara-Juara dan ketika itu Hargreaves baru memulakan karier dalam saingan Liga Jerman. - Reuters

Mourinho ramal peluang menang tetap seimbang

LONDON - Bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho tidak mahu mendedahkan pasukan mana menjadi pilihannya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi ini.

“Perlawanan itu nampak seimbang dan saya fikir peluang Chelsea serta Manchester United adalah 50-50. Tidak ada rahsia lagi antara kedua-dua pasukan ini dan mereka telah membuktikannya,” kata Mourinho dalam laman web Feelfootball.com yang ditaja oleh Ford semalam.

“Mereka telah membuktikannya dalam saingan Liga Perdana England tahun ini selepas masing-masing menamatkan saingan di tempat pertama dan kedua. Dalam tempoh beberapa tahun terakhir hanya Chelsea dan United sahaJa yang berjaya memenangi gelaran liga.

“Mereka juga telah membuktikannya apabila bertemu sesama sendiri misalnya pada babak akhir Piala FA 2007, kedua-dua pasukan hanya dapat dipisahkan pada masa tambahan.”

Mourinho, 45, yang meninggalkan Chelsea pada September tahun lalu berkata, dia sudah bersedia untuk bekerja selepas laporan mengaitkannya bersama Inter Milan.

Dia memenangi Liga Juara-Juara ketika bersama Porto sebelum membimbing Chelsea memenangi dua gelaran Liga Perdana dan Piala FA tetapi hanya mampu membawa The Blues ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada zaman kegemilangannya di Stamford Bridge. - AFP

Ronaldo bukan utk dijual

MANCHESTER - Manchester United tidak akan menjual Cristiano Ronaldo meskipun mendapat tawaran yang lumayan.

Ronaldo sudah beberapa kali dikaitkan dengan perpindahan berjumlah 100 juta pound (RM637 juta) ke Real Madrid sepanjang tahun lalu dan baru-baru ini pemain sayap Portugal itu mengakui dia mungkin berpindah ke Sepanyol pada masa depan.

Begitupun ketua eksekutif United, David Gill menegaskan bahawa Ronaldo akan meneruskan kontraknya di kelab ini.

“Tidak ada keraguan lagi bagi kami. Dia masih ada empat tahun (kontraknya) sehingga tahun 2012. Dia telah bersama kami selama lima tahun dan kami pasti dia akan terus bersama kami untuk tempoh beberapa tahun lagi,” kata Gill.

“Dia adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dan dia berada di kelab yang hebat, memenangi trofi.

“Dia seronok di sini (Old Trafford), kamu boleh tanya soalan itu apabila kamu bertemu dengannya secara peribadi. Mengapa dia mahu meninggalkan United?

“Kami tidak ada niat untuk membenarkan dia pergi, kami akan pastikan dia gembira di sini (United) seperti mana yang kami lakukan kepada semua pemain terbaik kami.”

Laporan minggu lalu mendakwa United mempunyai hutang yang banyak tetapi Gill tidak akan memaksa mereka untuk menjelaskan hutang itu dengan menjual aset yang ada.

“United bukan sebuah kelab yang menjual aset-aset utama mereka,” katanya kepada BBC Radio Five Live.

“Untuk menjelaskan hutang itu, kami perlukan sebuah pasukan yang sangat berjaya di padang dan kamu tidak akan mencapai sasaran itu dengan menjual Ronaldo.” - AFP