Calderon mohon maaf

MADRID: Real Madrid mengambil langkah untuk meredakan situasi tegang dengan Manchester United berhubung perebutan kelab itu terhadap Cristiano Ronaldo.
Kelmarin, United mengemukakan amaran keras untuk melaporkan kepada Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) berhubung keinginan Real terhadap pemain sayap dari Portugal itu.
“Kami memerhati dengan keadaan tidak senang hati terhadap komen dikaitkan dengan Real Madrid mengenai dakwaan bahawa mereka berminat untuk mendapatkan Cristiano,” menurut kenyataan United.
“Kami tidak mempunyai pilihan selain mendakwa Real sekiranya kelab itu terus dengan sikap mereka.” menurut kenyataan itu lagi.
United dikatakan semakin kurang senang dengan kenyataan jurulatih Real, Bernd Schuster yang mendakwa pemain berusia 23 tahun adalah sasaran utama mereka dalam musim perpindahan pemain.
Dalam usaha meredakan keadaan, Presiden Real Madrid, Ramon Calderon mengumumkan bahawa pasukan juara Sepanyol itu tidak mahu ‘terjebak di dalam konflik” dengan juara Eropah itu.
“Kami tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menyakiti sahabat seperti Manchester,” kata Calderon seperti yang dilaporkan media Sepanyol.
“Kami meminta maaf kerana menyinggung perasaan United, tetapi Real tidak mahu dikaitkan dengan perkara ini,” katanya.
Beberapa laporan sepanjang beberapa minggu lalu mengandaikan Real mempunyai niat untuk memikat pemain impian mereka dengan tawaran lumayan sebanyak 80 juta euro (RM412.8 juta).
Calderon menambah: “Kami tahu Manchester tidak akan menjualnya, jadi mengapa kami harus mendesak? Ini adalah masalah antara pemain dengan kelabnya.”
Menurut pemilik kelab itu, Real hanya memberitahu mereka berminat mendapatkan Ronaldo jika dia berhasrat meninggalkan England satu hari nanti.
Ronaldo masih mempunyai kontrak dengan kelab pendahulu Liga Perdana Inggeris England itu hingga 2012. - AFP

