Waspada Sekalipun Kian Pasti
Manchester United boleh menapak satu lagi langkah ke depan dalam usaha mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) andai mereka dapat merampas tiga mata daripada Blackburn Rovers di Ewood Park, malam ini.
Ketika perebutan kejuaraan belum lagi berakhir, anak didik Alex Ferguson mampu melonjak lima mata di depan pencabar terdekat Chelsea dengan kemenangan di tempat lawan. Selepas perlawanan itu, kedua-dua United dan Chelsea berbaki tiga perlawanan, termasuk menentang satu sama lain di Stamford Bridge pada 26 April.
Chelsea, bagaimanapun, kekal bersaing merebut kejuaraan ketiga dalam tempoh empat musim dengan kemenangan 1-0 ke atas Everton dalam perlawanan hambar di Goodison Park, kelmarin - mencantas jurang pendahuluan United kepada hanya dua mata ketika ini.
United menghimpun 80 mata daripada 34 perlawanan, Chelsea ketinggalan dengan 78 mata daripada 35 tetapi United akan memastikan kejuaraan dengan berbaki dua perlawanan sekiranya mereka menang kedua-dua di Blackburn dan Chelsea.
Namun, pengurus United, Ferguson sudah begitu masak dengan bola sepak Inggeris untuk memahami bahawa keputusan sebaliknya yang tidak diingini mampu terjadi.
“Kami berada dalam posisi baik, tetapi berdasarkan pengalaman hidup saya, kita tidak boleh terlalu selesa,” kata Ferguson kepada lawan web rasmi kelab (www.manutd.com).
“Kami masih berdepan perlawanan sukar. Kami perlu ke Blackburn, Chelsea dan Wigan yang pasti perlawanan sukar di gelanggang lawan. Kami mungkin boleh kalah kepada Chelsea, malah kami mungkin boleh kalah semuanya. Ia satu liga yang amat sukar.”
United, yang bertemu Barcelona, Rabu depan pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, hanya menang sekali dalam tujuh kunjungan mereka dalam liga ke Blackburn tetapi Ferguson mungkin menggilirkan pemainnya ketika tugasan di Nou Camp semakin hampir.
Chelsea juga berdepan tugasan Liga Juara-Juara minggu depan apabila mereka kembali ke Merseyside untuk bertarung dengan Liverpool di Anfield pada perlawanan pertama separuh akhir.
Mereka membantu Liverpool kelmarin dengan kemenangan ke atas Everton, membolehkan Liverpool memburu tangga keempat dan tiket terakhir kelayakan Liga Juara-Juara.
Kekalahan Everton menyaksikan Liverpool kekal di tangga keempat dengan 66 mata, lima mata di depan Everton dan dengan kelebihan satu perlawanan menentang Fulham malam ini. - Reuters

