Lippi sokong Fergie halang Ronaldo ‘lompat’ ke Real

ROME: Jurulatih Italy, Marcello Lippi, kelmarin melahirkan sokongannya terhadap usaha pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson, yang berazam mahu menghalang Cristiano Ronaldo daripada dijual kepada Real Madrid.

‘Tidak syak, tawaran 100 juta euro adalah sungguh tinggi sekali. Tetapi tidak semua barang boleh dibeli dengan wang,’ jelas Lippi dalam satu interviu dengan akhbar La Gazzetta Dello Sport.

‘Saya berpendapat adalah tidak wajar bagi seseorang pemain mempunyai kata putus.

‘Ferguson adalah pengurus pasukan yang pendirian tegas. Saya fikir Ronaldo akan terus bersama United.

‘Jika dilihat daripada sudut teknikal, pemain itu harus kekal bersama United.

‘Dalam pada itu, kalau kita lihat persembahan Ronaldo dalam Euro 2008 baru-baru ini, pemain itu secara peribadi tidak boleh membantu perjuangan pasukan Portugal,’ beliau berhujah.

Lippi kemudian menarik perhatian bahawa beliau begitu terpikat dengan prestasi yang dipamerkan rakan Ronaldo di United iaitu Wayne Rooney.

‘Saya seperti jatuh hati dengan Rooney. Saya seronok lihat keghairahannya mengejar pemain pertahanan sehingga ke penjuru padang,’ kata Lippi, yang telah membantu Italy menjuarai Piala Dunia 2006 di Jerman.

Selain itu, beliau agak kecewa kerana seorang lagi pemain England, Frank Lampard, tidak menyertai Inter Milan, sebaliknya terus kekal dengan Chelsea.

Lippi menyebut Lampard sebagai antara empat pemain midfield terbaik dunia.

Tiga pemain lain ialah Daniele de Rossi dari AS Roma, Andrea Pirlo dari AC Milan dan Andreas Iniesta dari Barcelona.

Beliau juga kagum dengan potensi bintang muda Barcelona, Lionel Messi, dari Argentina.

‘Beliau adalah pemain yang pintar,’ demikian penghargaan Lippi ke atas pemain sayap itu.