Masa depan Berbatov jadi tanda-tanya

BERBATOV (Kiri) dilapor bakal meninggalkan Spurs pada musim perpindahan nanti.
LONDON - Penyerang antarabangsa Bulgaria, Dimitar Berbatov kembali mencetuskan teka-teki mengenai masa depannya bersama kelab Tottenham Hotspur.Semuanya gara-gara pendedahan yang dibuat ejen penyerang itu, Emil Dantchev yang menyebut bahawa perbincangan kedua-dua pihak mengenai kontrak baru telah menemui jalan buntu.Situasi itu sekali gus membuka peluang kepada Manchester United dan Chelsea untuk mendapatkan khidmat pemain itu pada musim panas ini.
Berbatov ketika ini masih mempunyai baki kontrak dua tahun di White Hate Lane, namun perbincangan mengenai tawaran kontrak lanjutannya itu tidak berjaya diselesaikan.
“Masa depan Berbatov akan ditentukan dalam beberapa bulan lagi,” kata Dantchev.
“Kami telah dua kali mengadakan perbincangan mengenai kontrak barunya, namun menemui jalan buntu hanya kerana Tottenham tidak mahu mengubah harga perpindahan Berbatov.
“Dia baru berusia 27 tahun dan perlu memenangi sebarang trofi. Sudah tiba masanya dia berhijrah ke kelab yang beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara.
“Terdapat tujuh hingga lapan kelab Eropah yang berminat mendapatkannya dan kami juga sudah berbincang dengan mereka.”
Jurucakap Spurs pula memberitahu: “Dimitar masih mempunyai baki kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan dua tahun lagi. Dia adalah antara pemain yang memiliki kontrak istimewa di kelab ini.” - Agensi

