Messi mahu singkir United

LONDON - “Saya akan singkirkan kamu daripada saingan Liga Juara-Juara.”

Demikian amaran yang dilontar bintang muda Barcelona, Lionel Messi (gambar) kepada pengurus Manchester United, Alex Ferguson dan anak buahnya menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Messi membawa khabar gembira selepas dia dilaporkan akan kembali beraksi apabila pulih daripada kecederaan di bahagian paha.

“Saya sudah bersedia untuk menentang United dan saya juga berada dalam keadaan baik. Rakan sepasukan sedang menunggu apa yang saya perlu lakukan pada perlawanan ini nanti.

“Saya kini dalam keadaan tenang dan teruja melakukan yang terbaik dan bersedia menampilkan aksi terbaik kepada pasukan,” kata Messi.

Messi, 20, turut menegaskan, aksi di Nou Camp itu nanti bukan hanya pertarungan antara dirinya dengan bintang United, Cristiano Ronaldo.

“Cristiano adalah pemain hebat. Dia telah membuktikannya musim lalu dan dia turut menunjukkan kehebatannya musim ini dengan menjaringkan banyak gol.

“Bagaimanapun perlawanan ini lebih kepada Manchester United dan Barcelona, bukan antara Ronaldo dan saya. Ia adalah perlawanan melibatkan dua pasukan yang hebat,” tambah Messi.

Messi tidak beraksi pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 2006 ketika Barca menentang Arsenal di Paris ekoran kecederaan.

“Saya masih ingat perlawanan akhir itu. Disebabkan itu, saya mahu membantu pasukan meraih kejuaraan musim ini,” kata Messi. - Agensi

One Person has left comments on this post



» chanpang said: { Apr 23, 2008 - 01:04:54 }

erm…messi baru elok injured!so aku rasa dia x dpt perform nnt…hehehe!

glory glory man utd

chanpang’s last blog post..Last Minutes Goal