Park wira Asia

SEOUL: Suasana sibuk mengejar masa ke pejabat pada waktu pagi di Seoul mungkin menjadi sedikit senyap berbanding hari biasa apabila bintang Manchester United, Park Ji-sung menjadi pemain Asia pertama beraksi di final Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini.
Pemain Korea Selatan itu hampir pasti diturunkan dalam kesebelasan utama apabila juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal mencabar Chelsea pada perlawanan terbesar kelab dunia pada waktu petang Moscow.
Walaupun sepak mula perlawanan diadakan pada jam 3.45 pagi waktu Seoul, badan penyiaran Korea Selatan, MBC sedia untuk menerima kehadiran penonton yang lebih ramai apabila penduduk negara itu terpaku di depan kaca televisyen menyaksikan pertarungan itu.
“Kami menjangkakan tahap penonton menyaksikan siaran itu meningkat sekurang-kurangnya empat kali ganda berbanding perlawanan biasa Liga Juara-Juara,” kata pengulas bola sepak MBC, Seo Hyung-wook.
Media tempatan memberi liputan menggila terhadap Park.
“Cerita Sukan Olimpik Beijing ialah cerita lebih besar tapi bagi peminat bola sepak di Korea - Park dan Liga Juara-Juara - ialah sukan terbesar bagi 2008,” kata Baik Jung-hyun, produser sukan bagi badan penyiaran terbesar Korea, KBS.
Cyworld, portal internet yang begitu popular di Korea Selatan, pula menyebut, sebanyak 27 daripada 30 artikel utama minggu lalu membabitkan pemain berusia 27 tahun itu.
Park bermain pada separuh akhir Liga Juara-Juara pada 2005 bersama kelab Belanda, PSV Eindhoven sebelum berpindah ke England pada Julai tahun yang sama.
Sejak beberapa bulan lalu, penyerang itu meletakkan dirinya sebagai pemain penting dalam kesebelasan utama United.
Park bermain sepenuh masa pada empat perlawanan timbal balik membabitkan suku akhir dan separuh akhir sewaktu menentang Roma dan Barcelona.
Presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Mohamed Hammam yakin penampilan Park akan membuka laluan yang boleh diikuti pemain lain dari benua itu.
“Bagi bola sepak Asia, ia menjadi kebanggaan kami apabila seorang pemain Asia akan beraksi dalam final Liga Juara-Juara yang begitu berprestij,” kata Hammam. “Bagi saya, ini baru permulaan dan kita hanya menunggu masa untuk menyaksikan lebih ramai pemain Asia beraksi di pertandingan besar dan menyertai kelab utama Eropah dan serata dunia.”
Pandangan Hamman dikongsi Dr Chung Mong-joon, Ketua Persatuan Bola Sepak Korea dan Naib Pengerusi Fifa yang menjadi badan pentadbir bola sepak dunia.
“Sewaktu saya bertemu orang Eropah, perkara pertama diceritakan mereka ialah mengenai Park Ji-sung dan dia seorang pemain yang popular,” kata Chung memberitahu media tempatan.
“Ia akan menjadi sesuatu yang hebat jika dia bermain di Moscow dan menjaringkan gol. Bukan hanya di Korea tapi Park Ji-sung sememangnya menjadi kebanggaan Asia.”
Musim ini menandakan tahun hebat bagi Korea di Eropah.
Minggu lalu, Kim Dong-jin yang bermain untuk Zenit St Petersburg menerima pingat kemenangan Piala Uefa dan pemain pertahanan berpangkalan di Russia itu mahukan rakan senegaranya itu melakukan perkara yang sama.
Jika benar menjadi kenyataan Park akan menjadi juara Eropah di Moscow, sesuatu yang menarik ialah ia berlaku di bandaraya yang menjadi tempat jurulatih kebangsaan Russia, Guus Hiddink, bekerja.
Park mula dikenali ketika beraksi di bawah Hiddink, pertama ketika Piala Dunia 20002, kedua, apabila jurulatih berbangsa Belanda itu membawa pemain itu ke PSV Eindhoven.
“Dia adalah mentor saya,’ kata Park. “Sebelum bertemunya, saya tidak pernah mempunyai sokongan dan bantuan seperti mana yang saya terima daripadanya. Dia mengubah hidup saya. Saya terhutang budi kepadanya.” - Agensi


2 People have left comments on this post
dia main ker? alaa, lagi senanglah chelsea camni,hahahaa
acai’s last blog post..Misi amik gambar bunga pokok naga..
biasa park akan turun dlm pentas antarabangsa. larian nya pantas dan boleh mengkucar kacirkan pemain lawan. aku pun xharap sgt dia turun kalau menentang chelsea cai..
chot’s last blog post..Top 10 common passwords