Real angkat ‘bendera putih’

RONALDO terlepas saingan awal kempen Liga Perdana England.
LONDON - Presiden Real Madrid, Ramon Calderon mengesahkan bahawa misi kelab Sepanyol itu bagi mendapatkan khidmat Cristiano Ronaldo telah berakhir.Begitupun, Calderon menegaskan, pihaknya akan kembali mendapatkan Ronaldo selepas dia membuktikan dirinya benar-benar pulih sepenuhnya.
Kelmarin, pemain sayap Manchester United itu telah menjalani pembedahan pergelangan kaki kanan, sekali gus menyaksikan dia terlepas saingan awal musim pada kempen Liga Perdana England yang bermula 16 Ogos ini.
Ekoran itu, Calderon berkata, penghijrahan Ronaldo ke Bernabeu terpaksa ditangguhkan sehingga musim depan.
“Impian Ronaldo adalah untuk bersama kami dan impian kami pula adalah untuk mendapatkan pemain itu,” jelas Calderon.
“Tetapi saya terpaksa terima hakikat ini kerana kerjasama kami dengan Manchester United selalunya sangat baik dan mesra.
“Buat masa ini, kami tidak mahu menganggu mereka tetapi kami akan tetap dengan misi sebelum ini iaitu membawa Ronaldo ke Bernebau.
“Begitupun, kami simpati dengan apa yang dialami Ronaldo kerana dia akan terlepas aksi dalam tempoh dua hingga tiga bulan.”
Calderon menambah, Real tidak akan menjual bintang Brazil, Robinho ke Chelsea.
“Kami tidak mahu melakukan banyak perubahan dalam pasukan. Skuad ini masih muda.
“Tiada sebarang perbincangan dibuat untuk menjual Robinho,” tegas Calderon.
Sementara itu, Ronaldo dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan di Amsterdam kelmarin.
“(Pakar bedah) Niek van Dijk telah menjalankan diagnosis dan pembedahan kaki kanan Ronaldo dilakukan pagi ini (kelmarin),” kata jurucakap Academic Medical Center, Johan Kortenray.
Ronaldo menjaringkan 42 gol untuk Red Devils musim lalu bagi membantu United memenangi gelaran Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara. - Agensi
