Ronaldo kekal di Old Trafford
MOSCOW - Cristiano Ronaldo mendedahkan bahawa dia akan kekal di Old Trafford tetapi bukan untuk satu tempoh yang lama.

RONALDO mencium trofi Liga Juara-Juara selepas United menewaskan Chelsea pada perlawanan akhir di Moscow awal pagi semalam.
Kenyataan bintang tengah Portugal itu disuarakan sehari selepas dia membantu Manchester United menjulang trofi Liga Juara-Juara di Moscow.
Terdahulu, ejen Ronaldo, Jorge Mendes dilaporkan telah menemui pengawai Real Madrid sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Stadium Luzhniki kelmarin.
Situasi itu sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai perpindahan Ronaldo ke Santiago Bernabeu pada penghujung musim ini.
“Buat masa ini, saya tidak boleh janji apa-apa kepada keluarga dan penyokong kelab ini,” jelas Ronaldo.
“Saya mahu kekal, tetapi pada masa akan datang, tiada siapa yang tahu.
“Apa pun, kita akan lihat apa yang berlaku dalam dua minggu akan datang, tetapi saya tidak janji saya akan buat sebarang keputusan.”
Dalam pada itu, Ronaldo mengakui, dia berasa sangat takut selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
“Saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan, saya fikir kami akan tewas selepas kegagalan saya itu,” kata Ronaldo.
“Saya fikir ia akan menjadi saat yang paling buruk dalam hidup saya tetapi keyakinan tetap ada dan kami menang meskipun saya melakukan kesilapan.”
Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berkata, keyakinan serta semangat yang tinggi menjadi antara faktor kejayaan anak buahnya.
“Saya fikir ini adalah satu keyakinan. Kami bermain baik pada separuh masa pertama dan hampir memperoleh tiga jaringan.
“Babak kedua, mereka (Chelsea) lebih baik tetapi kami kembali bangkit pada masa tambahan,” kata Ferguson yang memenangi gelaran kedua Liga Juara-Juara bersama United.
Terdahulu, Ronaldo meletakkan United di hadapan pada minit ke-26 sebelum pemain tengah Chelsea, Frank Lampard menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama. - Agensi

1 Trackback(s)