Tahun ini milik kami!

MOSCOW: Edwin van der Sar menjadi hero Manchester United (MU) apabila menyelamatkan sepakan penalti penyerang Chelsea, Nicolas Anelka, sekali gus membolehkan pasukannya menjulang Piala Liga Juara-Juara yang menyaksikan buat kali pertama perlawanan akhir dikuasai dua kelab Inggeris.

Aksi hebat Van der Sar yang pantas merebahkan badan bagi menghalang sepakan Anelka menerjah jaring menyaksikan MU meraikan kemenangan di Stadium Luzhniki awal pagi ini serta menambah koleksi kejuaraan Liga Juara-Juara untuk kali ketiga.

Lebih bermakna lagi, kemenangan itu mengiringi kejayaan Red Devils selepas menyingkirkan Chelsea bagi merebut juara Liga Perdana Inggeris (EPL), 10 hari lalu.
“Itu adalah sepakan penalti yang memberi saya kemenangan yang belum pernah dilakukan United sebelum ini,” kata Pengurus, Alex Ferguson, yang turut menambah koleksi piala kejuaraan MU kepada 22 sejak dia memegang tampuk pengurusan kelab itu pada September 1986.

Perlawanan final awal pagi tadi penuh dramatik dengan kad merah dilayangkan kepada Didier Drogba pada minit ke-116 masa tambahan selepas dia menampar muka Nemanja Vidic.

Ia juga menyaksikan penyerang terbaik, Cristiano Ronaldo yang gagal menyempurnakan sepakan penaltinya, namun sebelum itu berjaya meletakkan MU di depan dengan tandukannya pada minit ke-26.

Frank Lampard pula yang pantas menyamakan kedudukan pada minit terakhir separuh masa pertama menjadikan pasukan itu terikat 1-1 sehingga masa tambahan 120 minit.

Pada masa tambahan, Chelsea hampir membuatkan anak buah Ferguson gigit jari apabila rembatan penyerangnya terkena palang dan tiang gol.

Malah, saat cemas kepada United apabila penjaga gol Chelsea, Petr Cech menampan sepakan penalti Ronaldo sebelum kem United kembali lega apabila kapten Chelsea, John Terry mensia-siakan peluang membawa pulang trofi buat kali pertama pasukannya apabila sepakannya tersasar.

“Saya fikir dia akan menjaringkan gol,” kata Rio Ferdinand, yang tidak menyangka tendangan rakan sepasukan dalam skuad England itu menyelamatkan MU.

“Dia sebenarnya seorang yang bagus dalam sepakan penalti, tapi malam ini dalam bola sepak seseorang pasti akan pulang dengan kekecewaan,” katanya.

Carlos Tevez, Michael Carrick, Owen Hargreaves dan Nani berjaya menyudahkan penalti United, manakala Chelsea menerusi Michael Ballack, Juliano Belletti, Lampard, Ashley Cole dan Salomon Kalou.

“Saya masih ingat lagi, 12 tahun lalu, saya kalah dengan sepakan penalti, tapi malam ini kami menang dengan cara ini,” kata Van der Sar, yang menjuarai trofi sama pada 1995 ketika bermain dengan Ajax tetapi gagal ketika bersama Juventus setahun kemudian.

“Ia di luar dugaan, tapi kami berhak menang,” katanya. – AP

Man Utd: Van der Sar, Brown (Anderson 120), Ferdinand, Vidic, Evra, Hargreaves, Scholes (Giggs 87), Carrick, Ronaldo, Tevez, Rooney (Nani 101).
Subs Not Used: Kuszczak, O’Shea, Fletcher, Silvestre.

Booked: Scholes, Ferdinand, Vidic, Tevez.

Goals: Ronaldo 26.

Chelsea: Cech, Essien, Carvalho, Terry, Ashley Cole, Ballack, Makelele (Belletti 120), Lampard, Joe Cole (Anelka 99), Drogba, Malouda (Kalou 92).
Subs Not Used: Cudicini, Shevchenko, Obi, Alex.

Sent Off: Drogba (116).

Booked: Makelele, Carvalho, Ballack, Essien.

Goals: Lampard 45.

Man Utd win 6-5 on penalties

Att: 69,552

Ref: Lubos Michel (Slovakia).