Tidak akan dijual

LONDON – Cristiano Ronaldo tidak akan dijual dengan sebarang tawaran harga.
Itu mesej yang cukup jelas daripada pemilik Manchester United, Malcolm Glazer kepada kelab Real Madrid.

Real sebelum ini yakin mereka boleh membantu Glazer untuk mengurangkan beban hutang United dengan mengemukakan tawaran tertinggi ke atas Ronaldo berjumlah 70 juta pound (RM445.36 juta).

Begitupun, sumber yang rapat dengan keluarga jutawan dari Amerika Syarikat itu berkata: “Ronaldo tidak akan dijual walaupun pemain itu sendiri membuat permintaan untuk dilepaskan,” katanya.

Glazer juga mendedahkan bahawa mereka akan terus menyokong pengurus United, Alex Ferguson untuk mengekalkan pemain berusia 23 tahun itu di Old Trafford.

“Semua keputusan membeli dan menjual pemain di bawah tanggungjawab pengurus dan sekiranya dia mahu pemain baru, peruntukan akan disediakan.

“Adalah tidak benar rundingan telah dilakukan dengan Real Madrid mengenai penjualan Ronaldo. Ia adalah karut,” kata sumber itu lagi.

United telah mengarahkan Ronaldo supaya kembali ke sesi latihan pramusim di Carrington tiga minggu selepas kempen Kejuaraan Eropah (Euro) 2008 berakhir.

Sumber Glazer berkata: “Perbincangan pengurus dengan Ronaldo akan dilakukan apabila dia kembali menyertai sesi latihan.” – Agensi