United bersetuju lepaskan Ronaldo?
![]() |
|
|
LONDON - Manchester United terus berusaha menyakinkan bintangnya, Cristiano Ronaldo (gambar) supaya kekal selama semusim lagi di Old Trafford.
Kelab gergasi England itu turut memberi jaminan Ronaldo akan dilepaskan dengan harga 65 juta pound (RM416 juta) musim depan.
Difahamkan bahawa ahli lembaga United sedang menimbang untuk bersetuju memberi tawaran tersebut kepada kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Begitupun, mereka terlebih dahulu perlu memujuk pengurus Red Devils, Alex Ferguson yang tetap berkeras enggan menjual pemain sayapnya itu.
Sumber dalam United memberitahu: “Ada beberapa individu berfikir apa guna untuk menghalangnya apabila Real bersedia untuk membelinya dengan harga yang lumayan.
“Satu jalan penyelesaiannya ialah Ronaldo akan kekal lagi buat satu musim dengan jaminan dia akan dibenarkan berpindah dengan harga yang dipersetujui hujung musim depan.”
Real bersedia menawarkan rekod harga perpindahan 65 juta pound (RM416 juta) ke atas Ronaldo dan terdapat laporan mereka sanggup menaikkan harga sehingga 80 juta pound (RM512.1 juta).
Dalam pada itu, pengurus Sunderland, Roy Keane dilaporkan berusaha mendapatkan khidmat penyerang United, Louis Saha.
“Harap-harap akan ada dua atau tiga lagi pemain yang akan datang ke sini sebelum musim perpindahan ditutup,” kata Keane. - Agensi


