Lupakan hasrat berpesta lebih awal!
LIVERPOOL: Petr Cech melaungkan amaran kepada Manchester United supaya melupakan hasrat untuk berpesta lebih awal terhadap kejayaan meraih gelaran juara liga buat kali kedua berturut-turut kerana dia menegaskan, Chelsea masih punya harapan untuk merampas gelaran Liga Perdana Inggeris.
Juara bertahan, United mampu meraih gelaran itu apabila mereka berdepan dengan Chelsea di Stamford Bridge pada 26 April ini selepas melihat anak buah Avram Grant tercicir dua mata berharga apabila sekadar seri 1-1 dengan Wigan di gelanggang sendiri Isnin lalu.
Selepas tertinggal lima mata berbanding United yang turut sama melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara, Chelsea yang menghuni tempat kedua mesti menewaskan Everton di Goodison Park Khamis ini untuk menghidupkan sisa harapan meraih gelaran buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.
Namun bagi penjaga gol dari Republik Czech, Cech yang beraksi menentang Wigan walaupun baru lapan hari mukanya menerima lebih 50 jahitan, mendakwa Chelsea masih berpeluang untuk merampas gelaran daripada dakapan United.
“Kami perlu memberikan tumpuan terhadap diri kami,” kata Cech. “Kami juga perlu menang setiap perlawanan kerana takdir bukan di tangan kami dan mengharapkan ada kelab lain yang mampu menewaskan Manchester United.”
“United bernasib baik sewaktu menentang Arsenal pada Ahad lalu dan mereka juga mungkin ditimpa nasib yang buruk sewaktu menentang Blackburn pada Sabtu ini.
“Perkara paling menarik dalam Liga Perdana ini adalah semua pasukan mempunyai kualiti dan tekanan sentiasa ada kerana setiap kemenangan amat sukar untuk diraih.
“Apa-apa pun, selagi kami terus berjuang maka harapan itu tetap ada. Kami akan berdepan perlawanan sukar dengan Everton tetapi andai kami menewaskan mereka, kami mampu merapatkan jurang kepada dua mata.
“Kami belum berputus asa. United masih berbaki empat perlawanan dan mereka perlu bertandang ke Stamford Bridge. Jadi peluang cerah untuk kami menewaskan mereka. Selain itu, kami juga perlu menang dalam setiap perlawanan dan perlu kekalkan rentak kemenangan ini.
“Memang gelaran sudah semakin hampir dalam genggaman United tetapi ia tidak bermakna segala-galanya sudah berakhir. Begitu juga dengan mesej daripada bilik persalinan dan kami perlu mengharungi perlawanan dengan rentak kemenangan.” - AFP

