United ‘tanpa’ kelibat Ronaldo

RONALDO akan menjalani pembedahan pergelangan kaki minggu depan.



MANCHESTER, England - Manchester United akan memulakan kempen Liga Perdana England musim depan tanpa kelibat pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo.

Begitupun Red Devils menegaskan, ketiadaan Ronaldo bukan kerana dia akan dijual kepada Real Madrid, sebaliknya pemain itu akan menjalani pembedahan pergelangan kaki minggu depan dan mungkin perlu berehat untuk tempoh enam minggu.

Pengesahan mengenai pembedahan Ronaldo dibuat selepas pasukan perubatan United dan Persatuan Bola Sepak Portugal (PFA) mendapat nasihat daripada pakar.

Berita itu juga dibuat pada hari yang sama United menafikan laporan daripada Sepanyol bahawa pemain berusia 23 tahun itu telah menandatangani kontrak untuk Real.

Menurut laporan terbaru itu, Ronaldo akan berpindah ke Real dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang jurucakap kelab memberitahu PA Sport: “Ia adalah sesuatu yang tidak betul dan tidak masuk akal. Cristiano Ronaldo bukan untuk dijual.”

Meskipun Ronaldo berminat untuk berpindah dan menerima tawaran berjumlah 70 juta pound (RM454 juta), United yakin keputusan menjual pemain itu akan memberi satu kerugian besar kepada kelab.

Selain menjejaskan gaya dan formasi permainan pasukan, ia juga memberi satu petanda awal bahawa United akan berada dibelakang Real Madrid.

Keluarga Glazer membeli United kerana mereka memandang Red Devils adalah sebuah kelab terbesar di dunia, dan mereka juga tidak boleh menerima hakikat untuk berada di belakang Real.

Mesej yang disampaikan oleh ketua eksekutif David Gill kepada Glazers adalah jika mereka bergantung kepada Ronaldo dan tidak menjualnya atau memberinya satu kontrak yang lebih besar, ia akan melemahkan lawan dan memberi pulangan untuk satu tempoh yang panjang kepada kelab.

Namun, jika mereka bersedia untuk menjual Ronaldo, pengurus United, Alex Ferguson menegaskan dia mahukan kesemua 70 juta pound bayaran perpindahan itu untuk mencari pengganti kepada pemain paling berharga itu. - AFP