Wang bukan halangan buat Real beli Ronaldo

VIENNA: Real Madrid sudah bersedia untuk membayar Manchester United rekod dunia yuran perpindahan untuk membawa pemain sayap Cristiano Ronaldo ke Bernabeu, kata bekas pemain utama Real, Zinedine Zidane, kelmarin.

Masa depan Ronaldo menjadi fokus spekulasi yang semakin tegang, dengan Real dilaporkan oleh media Sepanyol sudah bersedia untuk menawarkan bayaran jauh melebihi rekod dunia 78 juta euro (RM351 juta) yang dibayar mereka kepada Juventus buat Zidane pada 2001.

“Real tidak akan takut untuk membayar jumlah yang besar kerana sebelum ini, setiap kali mereka mahukan pemain, mereka akan berjaya membawanya ke Madrid,” kata Zidane pada sidang media.

“Jelas, ia terpulang kepada pemain. Jika dia mahu pergi, satu hari nanti dia pasti akan berada di Real Madrid.”

Ditanya mengenai bebanan dirasai selaku pemain paling mahal di dunia, Zidane berkata: “Jika dia ke Madrid, ia akan menjadi jumlah yang besar. Madrid sudah bersedia membayar lebih banyak berbanding saya.

“Ini sebenarnya akan mengurangkan sedikit bebanan dari bahu saya. Saya harap, mereka akan membayar lebih banyak buatnya berbanding saya.”

Ronaldo, yang membantu United menang kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah bulan lalu, berkata Khamis lalu ada kemungkinan besar dia akan menyertai Real tetapi perpindahan itu bukan terletak di tangannya.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu membantu Portugal mara ke kelompok lapan terbaik pada Euro 2008, ketika kempen mereka berakhir dengan tewas 3-2 di tangan Jerman, dan Zidane memberi bayangan pemain itu akan menerima anugerah berprestij majalah France Football, Ballon d’Or kerana pencapaiannya sepanjang tahun.

“Saya rasa dia melalui musim yang menakjubkan, dia memenangi kejuaraan (England) dan Liga Juara-Juara Eropah,” kata Zidane, yang bersara selepas Piala Dunia 2006. - Reuters